Sunday, March 13, 2011

Penambahbaikan Program Inspektor Buku

Salam sejahtera,
Saya telah memikirkan beberapa langkah penambahbaikan ke atas program Inspektor Buku yang akan mula saya laksanakan selepas tamat cuti pertengahan penggal pertama ini.

Dakwat: Bermula pada 21 Mac 2011, semua semakan buku latihan murid untuk program Inspektor Buku akan menggunakan pen dakwat ungu. Ini kerana adalah sukar bagi murid melihat kembali bahagian yang perlu diberi perhatian jika saya menggunakan dakwat merah, biru atau hitam. Dakwat merah digunakan oleh guru MP dan biru/hitam digunakan oleh murid. Oleh yang demikian, saya akan mula menggunakan pen dakwat ungu untuk semakan Inspektor Buku. Saya berharap agar murid-murid KRK yang disemak buku mereka akan dapat memberi perhatian kepada semua isu yang saya catatkan dalam borang pemantauan Inspektor Buku dan membuat perubahan dan meningkatkan kualiti tugasan.

Cap Inspektor Buku: Saya juga akan menggunakan cap khusus untuk Inspektor Buku, supaya dapat membezakan program ini dengan semakan oleh pentadbir atau guru-guru kanan bidang. Sebelum ini saya menggunakan cap yang sama yang digunakan oleh guru-guru kanan (dengan kebenaran Pengetua), tetapi saya mendapati cap ini tidak sesuai untuk program Inspektor Buku.

Gred: Semua murid yang telah disemak buku latihan mereka akan diberi gred. Saya akan menghantar nama murid-murid yang mendapat gred C dan ke bawah kepada guru-guru matapelajaran supaya murid-murid ini diberi perhatian lebih serius. Untuk kes-kes tertentu (seperti kegagalan menyiapkan latihan dan pembetulan yang serius), saya akan menghubungi ibu bapa murid berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Komen Guru: Saya mengucapkan tahniah kepada guru-guru Bahasa Melayu dan Kemahiran Hidup ERT yang saya dapati sangat teliti dalam penandaan. Komen-komen yang guru-guru ini tulis pada buku murid telah banyak membantu saya membuat penilaian yang lebih baik ke atas tahap keseriusan murid semasa menyiapkan latihan.

Murid bermasalah: Saya berbangga kerana selain saya sebagai Penyelaras, guru-guru lain juga turut mengambil berat tentang prestasi murid KRK. Beberapa guru telah mencadangkan supaya saya menyemak buku murid bermasalah lebih dari sekali. Saya bersetuju. Oleh itu, saya mohon kepada murid-murid KRK supaya bersedia untuk buku anda diperiksa lebih dari sekali. Jika buku anda telah disemak, tidak ada jaminan saya tidak akan memanggil anda lagi. Saya akan memanggil anda untuk semakan kali kedua atau ketiga jika perlu. Saya juga berpendapat, semakan dua/tiga kali ini tidak semestinya untuk murid bermasalah. Jika perlu, saya akan memanggil semakan kali kedua untuk murid-murid tidak bermasalah juga, terutamanya calon-calon perfect score. Buku latihan bukan sahaja memberi maklumat tentang tahap motivasi murid, ia juga boleh memberitahu saya tentang teknik belajar yang mungkin sesuai/tidak sesuai dengan murid. Jika saya dapati teknik belajar anda tidak sesuai, saya akan ajukan kes anda kepada pihak kaunselor sekolah yang berupaya memberi bimbingan tentang teknik belajar yang betul dan sesuai dengan anda.

Saya berharap supaya tabiat untuk sentiasa serius terhadap tugasan sekolah menjadi amalan yang sentiasa dilakukan. Amalan seperti ini bukan sahaja untuk program Inspektor Buku, tetapi juga sebagai satu latihan untuk anda bersedia dengan budaya di alam pekerjaan kelak.

Pada masa akan datang, bagi membantu murid-murid melihat dengan jelas apa yang saya pantau melalui Program Inspektor Buku, bolehlah melihat Borang Instrumen Pemantauan Inspektor Buku yang boleh anda muaturun di bawah dan membuat persiapan yang perlu sebelum anda dipanggil untuk semakan.

Borang Instrumen Pemantauan Program Inspektor Buku



Image by FlamingText.com