Monday, February 28, 2011

Inspektor Buku: Bagaimana Ibu Bapa Boleh Membantu Pihak Sekolah?

Salam sejahtera,
Seperti yang saya janjikan dalam blog entry KRK yang sebelum ini bertajuk Inspektor Buku, saya ingin beri beberapa tips kepada ibu bapa tentang bagaimana mereka boleh membantu pihak sekolah untuk meningkatkan prestasi anak mereka. Saya yakin dan percaya, semua ibu bapa ingin membantu pihak sekolah, tetapi oleh kerana kekangan masa, ramai ibu bapa tidak dapat berhubung dengan guru-guru lebih kerap. Tambahan pula, bukan semua ibu bapa terlatih dalam bidang pendidikan, jadi memang agak sukar untuk membantu.

Jadi bagaimanakah ibu bapa bukan guru boleh membantu anak-anak meningkatkan prestasi akademik?

Apa yang ibu bapa perlu lakukan ialah satu sahaja; semaklah buku latihan anak-anak anda. Anda mungkin akan terkejut dengan betapa banyaknya perkara yang boleh anda ketahui hanya dengan menyemak buku latihan mereka. Ketika menyemak buku latihan, anda boleh tumpukan kepada beberapa aspek:

PERTAMA: Tulisan. Murid yang serius untuk belajar mempunyai tulisan yang kemas dan boleh dibaca. Ini kerana semua nota/latihan yang ditulis dalam buku latihan boleh digunakan untuk membuat ulangkaji di rumah. Jika tulisan anak anda buruk, jangan pula cepat melenting. Mungkin tuan punya tulisan itu masih boleh membacanya. Mintalah anak anda membaca apa yang mereka tulis. Jika mereka boleh membacanya, maka janganlah anda bimbang. Ingatkan sahaja mereka supaya memperbaiki tulisan. Tetapi jika mereka tidak boleh membaca tulisan sendiri, itu adalah kerana mereka menyalin nota dan membuat latihan supaya tidak kena marah dengan guru di dalam kelas, mereka tidak ada niat pun untuk mengulangkaji.

KEDUA: Tarikh latihan/nota. Setiap subjek ada peruntukan masanya setiap minggu. Subjek teras seperti BM, BI, Matematik, Sains, Sejarah, Geografi, Pendidikan Islam dan KH ada lebih banyak peruntukan masa berbanding subjek-subjek bukan teras. Subjek teras ada lebih banyak latihan daripada subjek bukan teras. Oleh itu, pastikan anak anda ada membuat latihan/nota setiap minggu untuk subjek-subjek ini kerana semua guru akan memberi banyak latihan setiap kali mereka masuk. Maksudnya, setiap minggu mesti ada sekurang-kurangnya satu mukasurat nota/latihan yang ditulis. Jika tiada, atau ada minggu-minggu tertentu di mana anak anda tiada latihan/nota, semaklah sama ada anak anda hadir ke sekolah atau tidak. Jika tidak hadir ke sekolah, itu perkara biasa. Jika hadir, ada kemungkinan anak anda ialah kaki ponteng kelas/sekolah.

KETIGA: Jumlah mukasurat. Ramai murid memberi tumpuan lebih kepada subjek yang mereka suka atau guru yang mereka suka. Maka, bagi subjek/guru yang mereka suka ini, bilangan mukasurat yang mereka gunakan adalah lebih banyak berbanding subjek/guru yang mereka kurang suka. Berilah galakan ke arah minat anak anda.

KEEMPAT: Headcount. Murid yang ingin berjaya akan memantau sendiri prestasi akademik mereka dengan serius. Dengan itu, ruangan headcount pada buku latihan mereka akan dilengkapkan dengan teliti. Jika anak anda mempunyai ruangan headcount yang lengkap, ketahuilah bahawa anda tidak perlu bimbang kerana selain guru, anak anda sendiri mengambil berat hal pendidikan diri sendiri.

KELIMA: Indeks. Murid yang ingin menggunakan buku latihan untuk mengulangkaji akan melengkapkan bahagian indeks kerana ia akan memudahkan mereka mengulangkaji mengikut topik. Jika tidak ada indeks, anak anda akan mengambil banyak masa untuk mencari nota topik-topik tertentu sehingga akhirnya, anak anda boleh jadi letih menyelak semua buku yang ada dan akhirnya, masa terbuang dan mereka tidak pun mengulangkaji.

KEENAM: Pembetulan. Belajar melalui kesilapan adalah perkara penting dan biasa berlaku di sekolah. Jangan sedih jika anak anda memberi semua jawapan salah dan buku mereka penuh dengan dakwat merah. Melakukan kesalahan adalah fitrah manusia. Tetapi, membiarkan kesalahan berlaku tanpa dibetulkan, itu ialah manusia sambil lewa. Pastikan anak anda membuat pembetulan untuk setiap jawapan yang salah.

KETUJUH: Nama guru. Adab belajar yang betul mestilah berguru. Adakah anak anda kenal guru mereka? Ada ruangan nama guru pada buku latihan anak anda. Adakah ruangan itu diisi? Adalah penting bagi murid untuk mengenali guru, kerana ia akan membina keyakinan diri murid untuk bergaul dengan guru dan bertanya soalan. Jika anak anda tidak kenal gurunya, jelaslah bahawa anak anda tidak pernah berkomunikasi dengan gurunya sendiri. Maksudnya, anak anda tidak pernah bertanya soalan dalam kelas, tidak aktif dalam kelas dan mungkin, tidak pernah hantar buku latihan untuk disemak juga!

KELAPAN: Susunan buku. Bagaimanakah anak anda menyusun buku-buku latihannya di rumah? Adakah susunan itu kemas dan tersusun? Cuba suruh anak anda mengeluarkan buku tertentu; dia harus boleh mengeluarkan buku itu dalam tempoh kurang dari 15 saat, kecuali jika bukunya ada pada guru. Jika anak anda mengambil masa lama untuk mengeluarkan buku dan kelihatan tercari-cari, ada kemungkinan anak anda selalu dikenakan tindakan tidak bawa buku latihan ke sekolah.

Itulah perkara-perkara yang perlu ibu bapa titikberatkan ketika menyemak buku latihan anak masing-masing. Anda tidak perlu ke sekolah berjumpa guru untuk bertanya hal anak anda. Selak sahaja buku latihan mereka. Tentu banyak perkara yang boleh anda ketahui selepas itu. Tetapi, jika anda tidak berpuas hati dengan buku latihan anak anda, datanglah ke sekolah untuk berjumpa guru anak anda. Pastinya dengan kerjasama guru dan ibu bapa, masalah akademik murid boleh diselesaikan.


CIKGU ZAKIAH

Inspektor Buku

Salam sejahtera,
Berikutan bermulanya program Inspektor Buku sejak dua minggu lalu, telah dicadangkan kepada saya supaya saya menyemak buku murid-murid yang telah 'terkenal' dengan reputasi kerja sekolahnya yang bermasalah terlebih dahulu.

Saya berterima kasih atas maklumbalas positif yang saya terima dari guru-guru matapelajaran terhadap program Inspektor Buku ini. Namun begitu, ingin saya jelaskan bahawa program Inspektor Buku ini dijalankan bertujuan untuk menangani isu murid KRK yang mempunyai masalah untuk menyiapkan latihan dan tidak mengambil berat keadaan buku latihan yang tidak terurus dan 'daif'. Ini adalah kerana saya berpendapat adalah lebih baik bagi saya untuk 'menangkap' sendiri murid-murid ini sebelum guru matapelajaran membuka mulut dan melapor kepada saya.

Oleh kerana saya hanya berkesempatan untuk memeriksa buku setiap murid sekali sahaja, maka saya berpendapat, adalah baik untuk meletakkan murid yang bermasalah pada giliran-giliran terakhir, supaya mereka 'terpaksa' menyiapkan kerja rumah sepanjang tahun ini kerana giliran mereka hanya akan tiba pada penghujung tahun. Pada masa yang sama, saya juga ingin bersikap lebih adil kepada murid-murid KRK yang bermasalah ini supaya mereka mempunyai lebih masa dan peluang untuk mengubah sikap sebelum 'tertangkap'.

Di akhir nanti, saya berharap supaya kerja sekolah yang disiapkan sepanjang tahun itu boleh membantu murid mengulangkaji di rumah dan memperbaiki prestasi akademik untuk PMR yang menjadi sasaran utama.

Sebagai langkah penambahbaikan ke atas program ini pada masa akan datang, saya juga berhasrat untuk menghantar laporan program Inspektor Buku ini kepada ibu bapa/penjaga murid. Saya berharap bahawa ibu bapa dapat memahami bahawa walaupun mereka sibuk bekerja dan tidak ada banyak masa untuk berkomunikasi dengan pihak sekolah, mereka boleh mengetahui banyak perkara tentang keseriusan anak mereka di sekolah hanya dengan menyemak buku latihan mereka (akan saya jelaskan nanti). Dengan itu, dapatlah pihak sekolah dan ibu bapa berhubung dengan lebih kerap, dan bukan hanya ketika Hari Terbuka atau ketika anak berhadapan dengan tindakan disiplin selepas berbulan-bulan menyebabkan darah guru-guru naik ke kepala.

Namun begitu, satu cadangan yang sedang saya pertimbangkan ialah untuk memeriksa buku murid bermasalah ini sebanyak dua kali; iaitu pada awal tahun dan akhir tahun. Saya berpendapat cadangan ini boleh dilaksanakan, kerana bilangan murid bermasalah ini pun tidaklah ramai.

Di kesempatan ini saya ingin menasihatkan semua murid KRK (mungkin perkataan 'menasihatkan' itu patut dibaca 'amaran') supaya mengambil berat tentang keadaan buku latihan dan menyiapkan SEMUA tugasan yang diberi oleh guru matapelajaran masing-masing, sebelum tindakan yang lebih keras akan dikenakan. Saya sudahpun mendapat nama murid-murid yang berkenaan (terutamanya murid lelaki Melayu dalam kelas KRK tingkatan 1 dan 2) dan saya mohon kepada guru-guru matapelajaran supaya memaklumkan kepada saya dari semasa ke semasa tentang perkembangan murid-murid ini. Jika perlu dan mendesak, saya tentunya akan berusaha untuk meluangkan masa melawat ibu bapa murid-murid ini di rumah supaya murid ini boleh dibantu untuk menyelesaikan masalah mereka.


CIKGU ZAKIAH

Sunday, February 20, 2011

Bahasa kedua lambatkan Alzheimer

dari Utusan Malaysia Online, 20 Februari 2011

WASHINGTON 19 Feb. - Menguasai bahasa kedua akan membantu 'melambatkan' seseorang daripada menghidap penyakit Alzheimer di kemudian hari, kata para saintis semalam.

Ketika kajian tersebut menumpukan kepada penguasaan dwibahasa dalam tempoh jangka panjang, para saintis berkata, orang ramai yang lewat belajar bahasa kedua juga boleh mendapat faedah yang sama.

"Apabila anda menjadi lebih mahir, kesannya akan lebih baik," kata profesor psikologi di Universiti York, Toronto, Ellen Bialystok.

Kebanyakan kajian penguasaan dwibahasa melibatkan bayi kerana para saintis hairan mengapa golongan itu mampu menguasai dua bahasa dengan hanya mendengar percakapan, dalam masa yang sama mereka perlu mempelajari hanya satu bahasa.

"Otak bayi lebih fleksibel dan mampu menjalankan pelbagai tugas. Apabila mereka membesar, otak mereka menunjukkan kawalan eksekutif, satu sistem utama untuk berfungsi lebih baik,'' kata Bialystok.

Bialystok meneliti keadaan 450 pesakit Alzheimer yang kesemuanya menunjukkan tahap kerosakan sama ketika diperiksa.

Separuh daripada pesakit berkenaan telah menguasai dua bahasa dan mereka menggunakan bahasa berkenaan sepanjang hidup mereka.

Pesakit Alzheimer yang menguasai dua bahasa menunjukkan simptom antara empat dan lima tahun lebih lewat berbanding mereka yang hanya menguasai satu bahasa, katanya dalam pertemuan tahunan Persatuan Sains Lanjutan Amerika.

Bialystok berkata, menguasai dua bahasa tidak menghalang seseorang menghidap Alzheimer tetapi apabila ia mula menyerang, kawalan eksekutif itu membantu memperlahankan simptom.

Kajian beliau menyokong satu kajian awal oleh penyelidik lain yang turut menemui perlindungan terhadap kesan penyakit itu. -Agensi