Monday, July 13, 2009

ASYRAF ROSLI SEDANG MENYINAR

Assalamualaikum,

Nama saya Nur Hazirah bt Hafizul dari kelas 1 RK.Saya adalah antara penyumbang dalam di dalam blog smk Kulai Besar ini.Saya harap segala informasi yang berguna dapat memuaskan hati semua pihak yang membaca artikel ini.

SHAH ALAM - Baru berusia 13 tahun tetapi sudah menggondol kejuaraan antarabangsa. Itulah yang berjaya dilakukan Mohammad Asyraf Rosli pemain cilik yang sedang mengukir nama dalam sukan golf dan bertekad pergi lebih jauh satu hari nanti.
Pemain handikap lima itu baru-baru ini memenangi Kejohanan Golf Antarabangsa Jakarta World Junior dalam kategori C menewaskan pemain lain termasuk pemain handalan dari negara Thailand.
Menurut bapanya Rosli Md. Dewa, anaknya mula berjinak-jinak dengan sukan golf sejak berusia empat tahun setengah dan sekarang ini beraksi di bawah Majlis Sukan Negeri Selangor yang berpusat di Sekolah Seksyen 11, Shah Alam.
"Peningkatan yang ditunjukkan Asyraff adalah hasil bimbingan khusus bapa saudaranya, Adnan Othman yang pernah mempelajari sukan ini di Amerika Syarikat sebelum ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam
Jelasnya, Asyraff mula menyertai kejohanan ketika usianya menjangkau sembilan tahun dan kali pertama beraksi di luar negara pada tahun lalu dalam kejohanan yang sama tetapi hanya mendapat tempat kedua.
"Sejak menyertai kejohanan antarabangsa ini saya lihat semangat yang dimilikinya sangat berbeza dan cara permainannya juga semakin meningkat.
"Selepas ini dia akan menyertai kejohanan Selangor International Junior Masters pada yang akan bermula pada 31 Julai depan," katanya.
Asyraff yang mencatatkan 231 pukulan lima di atas par pada kejohanan di Jakarta Jun lalu berjaya mengenepikan pemain dari Chinise Taipei, Yu-Chuan-Siang dan Piyachad Yu-Sabai.
Katanya, dia menghabiskan masa selama tiga sehingga empat jam sehari untuk turun menjalani latihan di Kelab Golf Bukit Jelutong bersama pemain Selangor yang lain.
"Saya berharap pada usia 17 tahun saya sudah menjadi seorang pemain profesional," kata pemain yang meminati pemain golf terkenal, Rory Mcllroy dan pemain kebangsaan Ben Leong.
Pemain kelahiran Selangor itu juga telah menjuarai kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia sebanyak empat kali berturut-turut bagi kategori bawah 12 dan 15 tahun.
`dipetik dari Utusan Malaysia`

No comments: