Tulisan ini disiarkan bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan ke-53:
Ramadhan datang lagi. Seperti biasa, saya dan umat Islam yang lain menyambut kedatangan bulan puasa dengan membuat persiapan untuk berpuasa; membeli barang makanan untuk bersahur di rumah, barang untuk memasak juadah berbuka, dan lain-lain. Tidak kurang juga yang bercerita tentang hal menempah baju raya dan kuih raya. Saya dan adik lelaki yang baru mula bekerja di Negeri Sembilan pula sibuk berpesan kepada ibu supaya tidak membeli banyak kuih untuk hari raya tahun ini kerana kami juga akan membantu ibu membelinya - bukan sebab ibu tak ada duit untuk beli, tapi sebab kalau ibu yang beli, stail kuihnya tak menepati selera orang muda. Orang lama...begitulah...
Tetapi bagi anak perantauan yang hidup bersendirian mengurus diri di negeri orang seperti saya, kedatangan bulan puasa memaksa saya berfikir setiap hari "apa hal berbuka hari ini?". Jika tidak kerana bulan puasa, soal makan memang tidak terjaga dengan baik. Selalunya mi maggi pun boleh bila sudah malas keluar rumah. Sesekali saya suka juga memasak - dan ya, saya memang agak handal di dapur - tetapi mengenangkan yang saya akan berbuka bersendirian dan apa yang dimasak itu tentunya akan dibazirkan, dan ditambah pula dengan letih pada hari bekerja, saya mencari alternatif lain - Pasar Ramadhan.
Saya dilahir dan dibesarkan di bandar menara condong kedua di dunia, Teluk Intan, Perak. Selepas tamat SPM, bermulalah 'Ekspedisi Jelajah Semenanjung' saya; belajar tiga minggu di UiTM Arau, Perlis, kemudian ke Maktab Perguruan Perempuan Melayu di Melaka selama 3 minggu, dan kemudiannya di IPG Bahasa-bahasa Antarabangsa di Kuala Lumpur, kemudian ke Wellington, New Zealand, dan kemudian balik semula ke KL, dan selepas tamat latihan perguruan, saya dihantar untuk berkhidmat di Kulai, Johor. Jadi walaupun saya dikenali sebagai 'kutu rumah' oleh kawan-kawan rapat, saya memang ada pengalaman Pasar Malam yang berbagai.
Sebenarnya Pasar Ramadhan dan Pasar Malam sama sahaja konsepnya. Pilihan makanannya walaupun banyak, menunya lebih kurang sama sahaja di mana-mana pun, cuma di tempat-tempat tertentu, ada speciality tempatan, contohnya, ada sata dan nasi ambang di Johor, gulai tempoyak di Perak dan lauk-pauk berasaskan tempe di kawasan orang Jawa di Selangor. Di sebelah Utara pula, ada pasar malam yang menjual belalang goreng, mungkin agak aneh bagi orang-orang di selatan Semenanjung. Bagi orang Utara seperti saya juga, tabiat makan orang Johor yang tiada pantang itu juga pelik pada mulanya; seperti makan pisang goreng dengan sambal kicap, kerana di tempat saya, pisang goreng dimakan tanpa ada cicah apa-apa pun.
Bagi saya, pasar malam/pasar ramadhan telah menjadi budaya orang Malaysia. Walaupun menu pasar malam adalah makanan Melayu kebanyakannya, orang Cina dan India pun ada juga datang ke pasar malam. Saya pernah mempunyai seorang kawan Cina di Teluk Intan yang sangat suka karipap sardin. Pernah sekali ketika dia menemani saya membeli lauk-pauk berbuka puasa di pasar ramadhan Teluk Intan, dia makan karipap sardin sambil berjalan dan saya menegurnya, "aku puasa, jangan makan depan aku". Dia meminta maaf dan berhenti makan. Tapi apabila kami masuk ke dalam kereta, dia berkata, "tapi aku tak puasa..." dan terus menyambung makan. Saya membalas, "Fine...jangan harap aku nak bagi kau duit raya". Dia menyambut dengan gelak ketawa, tetapi mulutnya tidak berhenti mengunyah karipap sardin. Dan hampir setiap tahun dia akan menghantar sms kepada saya membuat komen tentang karipap sardin tahun tersebut; "tahun ini karipap sardin kakak tu tak sedap" atau "jangan beli karipap sardin dekat gerai tu, cari gerai lain" atau "wah...besar betul karipap sardin makcik tu".
Beberapa tahun selepas itu, saya dan kawan-kawan berangkat ke kota Wellington, New Zealand untuk meneruskan pengajian. Tiada lagi pasar malam. Tetapi sesekali saya dan kawan-kawan membuat potluck, jadi pelbagai menu juga dihidang, tetapi kawan-kawan yang tidak pandai memasak akan membawa buah-buahan, minuman dan salad. Hendak memasak menu Malaysia boleh juga, tapi bukan selalu. Biasanya kami memasak spaghetti, pasta atau sardin. Oleh kerana ada oven dalam apartment, saya sesekali membuat shepherd's pie, dan dihabiskan bersama kawan-kawan. Tidak pernah ada seorang pun yang komplen tentang rasanya. Apabila saya membuat shepherd's pie dalam dua bekas besar untuk dibawa ke parti, saya sendiri tidak dapat menjamahnya kerana sudah habis dikerjakan kawan-kawan. Tetapi, walaupun ada shepherd's pie, croisant, salad dan pizza, saya tetap juga merindui pasar malam di Malaysia. Sungguh sedih rasanya apabila berpuasa di sana tanpa pasar ramadhan. Sudahlah begitu, Aidilfitri yang pertama bagi saya di Wellington itu pun saya habiskan di dewan peperiksaan.
Kemudian pasar malam di Bandar Putra, Kulai, Johor. Sesekali timbul rasa malu untuk pergi kerana ada ramai anak murid saya berniaga di pasar malam itu. Pernah sekali ketika saya berjalan di pasar malam itu, ada seorang anak murid lelaki menjerit sekuat-kuatnya, "Cikgu! Nak beli air, cikgu?". Habis semua orang memandang saya. Lepas itu semua penjaja yang tidak kenal saya pun panggil saya 'cikgu'. Berbulan-bulan juga saya tidak menjenguk pasar malam, tapi selepas itu, saya pergi juga. Tahu mengapa?
Kerana sama seperti rakyat Malaysia yang lain, pasar malam sudah menjadi budaya saya juga. Bukan kerana makanan pasar malam itu sedap sangat, tapi kerana suasananya yang meriah itu memanggil-manggil anak watan yang tulen darah Malaysianya untuk datang. Kalau bunyi gemersik daun kelapa melambai Sudirman untuk balik kampung setiap kali Hari Raya, asap dari gerai membakar sate itu menyeru kita untuk berkali-kali datang ke pasar malam.
Bukan juga kerana orang Malaysia tidak berduit untuk makan di restoran atau hotel mewah. Di Kuala Lumpur, saya melihat sendiri ahli-ahli korporat yang kaya-raya, memakai kot dan tali leher dan berkasut kulit berjenama, turun dari Limosin atau Mercedes dan sambil melonggarkan tali leher, mereka melaung kepada mamak gerai di tepi jalan, "teh tarik satu, mamak!". Bagi mereka, boleh juga makan di restoran atau hotel, tapi biasanya mereka hanya makan di hotel jika perlu melayani klien. Jika tidak, gerai tepi jalan sahaja yang menjadi pilihan. Jika musim Piala Dunia baru-baru ini, hampir semua gerai tepi jalan ini penuh dengan anak-anak muda lelaki pelbagai bangsa duduk minum teh tarik sambil memekik "Gollll!!!!".
Ini budaya kita, orang Malaysia. Tidak kira Melayu, Cina atau India, dan tidak kira berapa banyak duit kita ada. Kita lebih suka makan dalam suasana santai dan meriah. Kita lebih suka melaung kepada mamak di gerai tepi jalan daripada mengangkat sedikit tangan dan berkata, "Bil, please" bila berada di hotel. Kita lebih suka mendengar manusia tawar-menawar harga di pasar malam daripada manusia terus membayar tanpa banyak soal bila di restoran.
Dan tidak kiralah bahasa apa pun yang kita tuturkan, kita semua tidak mengira bangsa, agama dan keturunan, semuanya pernah pergi ke satu tempat; PASAR MALAM.
3 comments:
Dear Cikgu Zakiah :
Hi
Very good article , thanks for sharing . I miss the Pasar Malam in Malaysia too . :o)
perkongsian hebat dari z.. tak sangka kan
terima kasih atas komen...kita di SMK Kulai Besar mengalu-alukan lawatan semua pihak ke blog KRK.
Post a Comment