Friday, October 8, 2010

KEMPEN NILAM 2: Hukum pesalah!

Saya membaca akhbar di internet hari ini dan menemui artikel yang membuatkan darah saya mendidih. Artikel di Utusan Malaysia Online itu bertajuk Doktor mangsa rogol terima Ann Politkovskaya. (Klik untuk baca)

Sepintas lalu tentang artikel itu, Doktor Halima Bashir ialah seorang doktor yang berkhidmat di sebuah klinik di Darfur, Sudan. Beliau telah melihat keganasan yang berlaku ke atas kanak-kanak di sana dan berasa kecewa kerana tentera Sudan tidak bertindak melindungi kanak-kanak itu walaupun kejadian itu berlaku di depan mata mereka. Rentetan itu, Dr. Halima telah mengadu kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Sayangnya, tentera Sudan tidak menyenangi tindakannya itu dan beliau telah dirogol bergilir-gilir oleh tentera Sudan.

Saya tidak hendak membincangkan apa yang betul dan salah di sini kerana saya percaya semua pembaca tahu siapa yang salah. Saya cuma tertarik dengan satu baris kenyataan Dr.Halima "Keadilan hanya akan dapat ditegakkan apabila penjenayah dihukum".

Teringat saya kepada satu tajuk berita di akhbar-akhbar kita tidak lama dahulu berkenaan cadangan pihak tertentu untuk memberi bantuan kewangan kepada ibu-ibu tunggal yang tidak diberi nafkah sementara menunggu proses perceraian mereka selesai di mahkamah. Proses perceraian yang mengambil masa bertahun-tahun itu dilihat sebagai penganiayaan kepada ibu-ibu tunggal kerana mereka tidak diberi nafkah (walaupun sepatutnya diberi nafkah itu). Pihak tersebut menyatakan bahawa selepas proses mahkamah selesai, bayaran nafkah yang telah didahulukan oleh kerajaan itu akan dituntut semula daripada bekas-bekas suami ibu-ibu tunggal ini.

Apa kaitan 2 artikel ini?

Dr.Halima berkata, "keadilan hanya dicapai apabila pesalah dihukum", tetapi pihak berkuasa undang-undang keluarga Islam kita tidak pula melihat lelaki yang gagal membayar nafkah sebagai pesalah. Sebaliknya pihak berkuasa pula bersedia untuk memikul beban yang sepatutnya ditanggung oleh lelaki-lelaki ini.

Adakah kita sudah mula membesar menjadi masyarakat yang suka lari dari tanggungjawab dan adakah pihak berkuasa kita pula menjadi 'pak turut' dengan memikul beban orang-orang yang lari dari tanggungjawab ini?

Lihatlah keadaan yang berlaku; murid sekolah boleh tumbuk guru sampai berdarah, dan hanya dikenakan tindakan ringan, murid sekolah boleh memasukkan video buli di Facebook dan masih tidak dikenakan tindakan, lanun curi pasir di Selangor, sekarang sudah senyap sahaja, di mana pesalahnya? Baru-baru ini ketika PMR sedang berlangsung, murid tidak dibenar balik awal dan ada seorang ibu menelefon saya mengatakan dia akan datang menjemput anaknya balik. Saya tahu ada ibu bapa juga menolong anak menulis surat kepada guru memberitahu anaknya sakit dan tidak dapat hadir ke sekolah, padahal sebenarnya dia tahu anaknya ponteng sekolah. Ada juga ibu bapa yang sengaja menghantar anak masuk terus ke kelas kerana tidak mahu anak mereka ditahan di pintu pagar sekolah kerana datang lewat.

Kelihatan seperti peraturan dibuat untuk dilanggar. Ibu bapa sendiri membantu anak melanggar peraturan sekolah. Setiap kali ada pihak ingin mengubah pengurusan disiplin pelajar sekolah, akan ada orang politik dungu yang berkata "murid-murid sekolah tidak boleh dimalukan".

Saya tidak faham. Saya seorang guru Bahasa Inggeris. Saya menerima pendidikan Bahasa Inggeris dan terdedah kepada pendidikan ala Barat dan dihantar belajar ke luar negeri. Ketika saya menetap di sebuah asrama pelajar di Wellington, New Zealand, ada seorang pelajar merosakkan peralatan asrama. Apabila tertangkap, pelajar itu disuruh menulis nota pengakuan bersalah, menulis namanya dan menurunkan tandatangan. Nota pengakuan pelajar itu kemudiannya dipaparkan di papan kenyataan asrama selama 2 bulan sebagai pengajaran kepada penghuni asrama yang lain. Tidak timbul soal pesalah itu dimalukan.

Kemudian baru-baru ini kita dengar kisah penyanyi Barat Britney Spears yang bermasalah. Spears telah dibebaskan dengan syarat dia perlu memakai gelang tangan yang akan memberitahunya paras alkohol dalam darahnya. Spears ialah seorang penyanyi yang terkenal di seluruh dunia, tidakkah memakai gelang itu akan memalukannya?

Jadi dari manakah datangnya ajaran yang kita amalkan di Malaysia ini yang terlalu bertolak ansur dengan pesalah sehingga mereka tidak boleh dimalukan dan tidak boleh dihukum. Malah, pihak berkuasa boleh memikul pula beban hasil sikap buruk pesalah ini. Suatu masa dahulu kita sangat terpengaruh dengan ilmu-ilmu psikologi dari Barat sehingga murid kita langsung tidak boleh disentuh walaupun untuk tujuan mendidik. Tetapi hari ini, orang Barat sendiri membuat hukuman yang bersifat memalukan, jadi ilmu 'tiada hukuman' ini dari mana datangnya?

Berbalik ke isu bantuan kewangan untuk ibu tunggal itu, saya secara peribadi memang tidak bersetuju dari awal lagi. Apabila timbul berita Dr.Halima, saya teringat kembali tentang isu ini dan mula membuat penyelidikan tentang pendapat orang ramai tentang isu ini. Hasilnya agak menggembirakan; ramai juga yang sependapat dengan saya.

Isunya begini; perempuan ada maruah juga. Maruah perempuan bukan terletak pada selaput daranya sahaja. Maruah seorang perempuan ialah pada keyakinan dirinya, keinginan dan usahanya untuk melindungi diri sendiri dan kebolehannya berdikari. Jika lelaki berasa terhina apabila terpaksa meminjam wang dengan perempuan, perempuan pun berasa terhina apabila asyik dipandang sebagai kaum yang lemah dan perlu dibantu dan ditemani, terutama sekali apabila keupayaan wanita itu berdikari sudah terbukti.

Seorang ibu tunggal yang hendak membina semula hidupnya haruslah pertama-tamanya dibantu membina keyakinan dirinya semula. Tetapi, jika suami yang bersalah itu tidak dihukum, dan ibu tunggal ini terpaksa pula menadah tangan kepada kerajaan untuk menanggung hidupnya, bagaimanakah keyakinan diri ini boleh dibina semula? Dan adakah anak-anak yang dibesarkan oleh ibu yang tidak berkeyakinan ini boleh membesar menjadi anak yang berguna suatu hari nanti? Anak-anak ini kemudiannya akan menimbulkan masalah baru pula - meninggalkan ibu tua yang dahulunya ditinggalkan suami di rumah orang tua. Inikah yang kita mahu? Inikah caranya membantu ibu tunggal?

Maruah bukan hak eksklusif kaum lelaki. Kaum wanita juga ada maruah. Jika lelaki bersalah kepada wanita, mereka perlu dihukum kerana mereka bersalah. Sekadar memberi simpati bukanlah caranya memberi keadilan kepada wanita yang dianiaya.


CIKGU ZAKIAH
PENYELARAS KRK SMKKB

No comments: