Friday, October 8, 2010

KEMPEN NILAM 3: Maruah Wanita

Artikel ini ialah sambungan kepada KEMPEN NILAM 2

Baru-baru ini saya telah membaca sebuah novel tentang seorang usahawan wanita dari China yang telah membuka syarikat di Jepun. Walaupun wanita ini berbangsa Cina, wanita ini enggan membantu warga China yang berada di Jepun yang mahu bekerja di syarikatnya. Usahawan wanita ini berkeras mahu mengambil hanya lelaki Jepun bekerja untuknya. Maka berlakulah polemik dalam media kedua-dua negara; media negara Jepun memuji wanita itu, manakala media China menuduh wanita itu sebagai 'pengkhianat'. Lebih dari itu, media China menuduh wanita itu lupa kepada keganasan tentera Jepun ke atas warga China semasa Perang Dunia ke-2. Wanita itu hanya mahu mengambil lelaki Jepun bekerja; wanita Jepun pun tidak ada tempat di syarikatnya.

30 tahun kemudian, wanita itu disahkan menghidap kanser. Menyedari usianya tidak panjang, dia mula melatih anak perempuannya untuk mengambil alih perniagaannya. Falsafahnya cuma satu: Jangan ambil orang Cina bekerja, hanya ambil pekerja lelaki berbangsa Jepun.

Anak gadis wanita itu pula seorang gadis muda berpendidikan Barat dan hidup seperti orang Barat. Dia tidak percaya kepada falsafah perniagaan ibunya yang disifatkannya sebagai satu diskriminasi terhadap bangsa mereka sendiri.

Sehinggalah wanita itu meninggal dunia dan perniagaannya diwarisi oleh anak gadisnya. Syarikat itu pun mula dibuka kepada semua orang, tidak kiralah warga China atau Jepun, lelaki dan perempuan. Perniagaannya semakin maju dan wanita muda ini semakin yakin bahawa falsafah ibunya dahulu adalah salah dan kolot.

Tidak lama kemudian, wanita ini menemui diari mendiang ibunya. Apabila dia membacanya, barulah dia memahami mengapa ibunya hanya mahu mengambil lelaki Jepun bekerja untuknya. Tindakan ibunya itu ialah untuk membalas dendam perbuatan tentera Jepun yang pernah memperkosa neneknya sehingga mati dan pernah memperkosa ibunya itu juga sehingga meninggalkan trauma yang mendalam. Tetapi wanita itu tidak duduk di rumah mengenang nasib diri. Dia bangkit semula dan membalas dendam dengan caranya sendiri. Dia akhirnya mati sebagai bos besar yang memperkulikan lelaki Jepun yang terpaksa bergantung hidup kepadanya. Gadis muda yang mewarisi perniagaan ibunya itu mula berasa bersalah kerana telah meninggalkan falsafah ibunya, sehingga rasa bersalah itu mendorongnya untuk membunuh diri.

Tamat novel.

Saya termenung panjang selepas membaca novel itu. Terkenang-kenang saya kepada artikel yang menyatakan kerajaan akan memberi bantuan kewangan kepada ibu tunggal yang sedang menunggu proses perceraian itu. Sama seperti kali pertama saya membacanya, rasa terhina sebagai seorang wanita tidak pernah padam.

Lelaki yang sepatutnya perlu membayar nafkah, dilepaskan tanpa hukuman. Yang perempuan yang ditinggalkan bersama anak-anak ini pula disuruh meminta sedekah kepada pihak lain yang tidak ada kena-mengena dengan tanggungjawab memberi nafkah itu. Lebih sakit hati lagi, ada di kalangan perempuan yang dilayan seperti peminta sedekah itu bersetuju untuk dibantu (baca artikel).

Jika perempuan tidak bertegas dengan maruah dirinya, memang tidak ada yang akan peduli.

Perempuan ialah kaum yang lemah secara fizikalnya, tetapi kelemahan fizikal itu telah dilihat sebagai lemah segala-galanya. Ramai wanita telah berupaya berdikari, tetapi masih dilihat lemah.

Berapa ramai wanita kita yang walau betapa tinggi pun pendidikan dan kedudukan mereka, walau betapa gigih dan tabahnya mereka masih dilihat sebagai 'orang dapur' atau 'orang rumah'. Hari ini wanita juga bekerja seperti lelaki, tetapi di rumah, yang mengurus hal-ehwal rumah masih lagi wanita dengan lelaki beranggapan mereka masih lagi seorang tuan.

Dan tidak terkira bilangan bapa-bapa tua yang mendesak anak perempuan masing-masing supaya balik ke kampung halaman, walaupun anak perempuan itu sudah dewasa dan sudah bekerja. Anak lelaki boleh pula berdagang ke seluruh dunia, tapi anak perempuan hendak disorok di bawah pangkin di dalam dapur rumah! Tangan yang dikatakan menggoncang dunia itu tiba-tiba hanya mampu menghayun periuk belanga di dapurkah?

Saya juga berpengalaman dilayan seperti orang yang lemah. Baru-baru ini, seorang kenalan lelaki dari tempat kerja saya berkata kepada saya, "Awak tinggal seorang ni bahaya". Kenalan lelaki ini cuba meyakinkan saya yang saya sepatutnya ada rakan serumah.

Apa pun niat kenalan saya itu, walau atas dasar ambil berat yang samar-samar sekalipun (kerana mengambil berat tentang rakan sekerja ialah salah satu tanggungjawab semua kakitangan yang saya sangat fahami), adalah cermin ketidakyakinannya kepada keupayaan saya untuk menjaga diri sendiri dan itu telah menyinggung perasaan saya. Saya tidak tahu apa sebabnya; tidakkah jelas yang saya sudahpun menjaga diri saya sendiri selama bertahun-tahun ini? Benar, ada risiko yang perlu ditanggung, tetapi jika hidup asyik memikirkan tentang risiko, kita tidak akan dapat usahakan apa-apa pun. Anak kita berjalan kaki ke sekolah pun boleh dilanggar kereta kan? Jadi kalau kita takut risiko ini, adakah sampai anak kita tidak bersekolah?

Bagi saya, maruah perempuan ialah apabila dia mampu hidup berdikari, mempunyai keinginan dan usaha untuk melindungi dirinya dan apabila dia tahu berfikir dengan waras.

Jika seorang perempuan itu sudah mempunyai kebolehan dan keupayaan untuk berdikari, mengapa mesti ditekan kebolehan itu dan disuruh balik ke rumah hanya kerana 'tidak ada orang jaga'? Mengapa hanya perempuan yang perlu menyesuaikan kerjaya dengan kehidupan berkeluarga seolah-olah lelaki tidak ada tanggungjawab kepada keluarga?

Semua anak, tidak kiralah lelaki atau perempuan, suatu hari nanti tentu akan meninggalkan rumah orang tua mereka dan belajar hidup sendiri. Sebab itulah mereka dihantar ke sekolah. Adakah anak perempuan dihantar belajar tinggi-tinggi supaya boleh disorok di rumah? Kalau anak itu ada kekurangan fizikal, berpenyakit atau tidak berpelajaran, bolehlah duduk di rumah. Tidakkah terhinanya rasa seekor katak yang telah melompat melihat dunia tiba-tiba disuruh duduk semula di bawah tempurung?

Saya akhirnya memahami dengan baik mengapa dalam sesetengah budaya ada kepercayaan bahawa 'perempuan yang bijak ialah satu malapetaka kepada lelaki'.

Sungguh gembira sekali saya kerana dapat membaca novel itu. Akhirnya ada juga seorang novelis wanita yang secara realistiknya menulis tentang idealisme wanita dan menzahirkan semua kemarahan dan kejelikan yang dirasai semua wanita yang mampu berdikari, dengan baik dan cemerlang, berbanding kebanyakan novelis wanita lain yang menulis kisah perempuan dipukul suami dan balik ke rumah menangis siang dan malam mengenang nasibnya, seolah-olah seorang pari-pari dari kayangan akan datang menolongnya.


CIKGU ZAKIAH
PENYELARAS KRK SMKKB

No comments: